Umum

Beautyexpo & Cosmobeauté Malaysia 2025 Buka Tirai, Era Baharu Inovasi Industri Kecantikan Asia Bermula

Pameran perdagangan kecantikan terbesar dan paling lama dianjurkan di Malaysia, beautyexpo & Cosmobeauté Malaysia (BECBM) 2025, membuka tirai rasmi hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Acara selama empat hari ini bakal menjadi pentas transformasi global, kolaborasi industri, inovasi produk serta penetapan trend baharu dalam dunia kecantikan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bersama barisan pemimpin industri antarabangsa, pembeli perdagangan, dan media. Turut hadir ialah YBhg. Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Pengerusi Penganjur; Mr. Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC); Ms. Margaret Ma Connolly, Presiden Informa Markets Asia; serta tetamu kehormat dari keluarga diraja Selangor dan Perak, YM Tengku Khairul Adena binti Tengku Abdullah.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Noraini menekankan peranan penting industri kecantikan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial:

“Industri kecantikan bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan, malah memperkasa keusahawanan serta membuka laluan kepada kehidupan yang lebih baik. beautyexpo & Cosmobeauté Malaysia menjadi platform utama bagi pembangunan kemahiran, peluang perniagaan, dan pengiktirafan bakat tempatan di peringkat antarabangsa.”

400 Pempamer, 1,000 Jenama Dari 15 Negara

Edisi tahun ini menghimpunkan 400 pempamer dengan lebih 1,000 jenama kecantikan dari 15 negara termasuk Malaysia, China, Korea, Jepun, Singapura, Itali, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Empat pavilion antarabangsa dari China, Korea, Singapura dan Taiwan menampilkan teknologi kecantikan terkini, inovasi halal, trend K-beauty, serta solusi kecantikan lestari.

Lantai pameran dibahagikan kepada lapan kategori khusus: Kecantikan Profesional, Rambut & Barber, Solekan & Kosmetik, Kuku, Sulaman & Bulu Mata, OEM/ODM, Kecantikan Halal, Latihan & Pensijilan, serta Spa & Wellness.

Pertandingan & Acara Tarikan Utama

Antara program menarik termasuk:

  • “Dare to Style, Born to Shine” Hair Styling Competition 2025
  • Ambassador of The Year Barber Competition oleh Gamma+
  • Beyond Blades Hair Show & Workshop bersama pendidik global John Llyod & Jordan Tabakman
  • 5th Malaysia Glory Cup International Beauty Competition oleh Youshine
  • Bloom & Groom: Skin Management Competition 2025
  • Asia Glory Hair & Beauty Awards 2.0
  • Beauté Discovery Zone – sesi pendidikan & inovasi bersama pakar industri

Selain itu, VIP Buyer Programme memberi peluang eksklusif kepada pembeli perdagangan untuk meneroka peluang perniagaan baharu.

Halal Cosmetics Jadi Fokus Utama

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mr. Hairol Ariffein Sahari, turut memperkenalkan Pelan Hala Tuju Sektor Kosmetik Halal Malaysia, dengan strategi memperkukuh pengeluaran tempatan, meningkatkan R&D, menggalakkan pensijilan halal, serta memperluas kerjasama global.

“Dengan inisiatif ini, Malaysia berada pada landasan tepat untuk menjadi peneraju global dalam segmen kecantikan halal,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Rahman menegaskan bahawa edisi kali ini mencerminkan daya tahan industri, kemampuan menerima perubahan, serta semangat kolektif untuk memimpin segmen baharu seperti kecantikan halal, lestari dan beretika.

Rangkaian & Kolaborasi Serantau

Pameran ini mendapat pengiktirafan dan sokongan padu daripada pelbagai agensi termasuk MATRADE, KPWKM, MyCEB, HDC serta kerjasama antarabangsa dari Korea, Taiwan dan persatuan kecantikan serantau.

beautyexpo & Cosmobeauté Malaysia 2025 berlangsung dari 30 September hingga 3 Oktober 2025, dibuka kepada pelawat perdagangan dari jam 10 pagi hingga 6 petang (tutup jam 5 petang pada hari terakhir).

Maklumat lanjut di www.beautyexpo.com.my dan www.cosmobeauteasia.com.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top