Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan berlaku gangguan bekalan elektrik melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang dan Johor Bahru petang ini, susulan insiden di Stesen Penjana Bebas (IPP) Edra Power Plant, Melaka.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, TNB memaklumkan bahawa pasukan teknikal sedang berusaha memulihkan bekalan secara berperingkat kepada pengguna yang terjejas.
Sebelum itu, TNB turut memaklumkan gangguan bekalan di beberapa kawasan sekitar Kepong, Kuala Lumpur, dengan pasukan teknikal berada di lokasi bagi kerja-kerja pembaikan.
“Setakat jam 5.30 petang, bekalan telah dipulihkan di beberapa kawasan termasuk Damansara City, Sri Hartamas, Danau Desa, SPPK Cheras, Ampang, Bukit Jalil, Sri Damansara, Kota Puteri dan Pasir Gudang Darat,” menurut kemas kini terkini TNB.
Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati ketika mengendalikan peralatan elektrik dan melaporkan sebarang gangguan melalui saluran rasmi seperti:
- Talian 15454
- SARA Chatbot di myTNB.com.my
- Private Message di Facebook TNB Careline
- Direct Message di X @Tenaga_Nasional
- E-mel: [email protected]
TNB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan menghargai kesabaran sepanjang proses pemulihan dijalankan.
⚡
