Umum

Belanjawan beri impak positif kepada pembangunan uasahawan Bumiputera

Ahmad Hussein

Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (KLMCC) menyambut baik Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan petang tadi oleh YAB Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan, Yang DiPertuanya Ahmad Hussein Tajuddin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas pembentangan Belanjawan 2025 yang menekankan aspek pembangunan ekonomi yang inklusif dan menyeluruh.

Menurutnya, sebagai wakil kepada komuniti perniagaan Melayu di Kuala Lumpur, beliau percaya belanjawan kali ini akan memberi impak positif kepada pembangunan usahawan Bumiputera dan sektor ekonomi tempatan.

Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian pihaknya termasuk Fokus kepada Pembangunan Usahawan Bumiputera.

Mengulas perkara itu, Ahmad berkata pihaknya menyambut baik peruntukan yang signifikan dalam memperkasakan usahawan Bumiputera menerusi pelbagai skim bantuan, insentif, dan akses kepada pembiayaan.

“Usaha ini penting untuk mengukuhkan daya saing perniagaan Melayu, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global. Kami berharap inisiatif ini akan dilaksanakan dengan efisien bagi memastikan usahawan Melayu dapat memanfaatkannya sepenuhnya”,katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0 serta menghargai usaha kerajaan untuk terus memacu transformasi digital dalam kalangan usahawan, khususnya di sektor kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, ia merupakan langkah penting bagi memastikan perniagaan Melayu dapat bersaing dalam ekonomi digital yang berkembang pesat, selain turut menyatakan ketersediaan KLMCC untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu usahawan dalam mempercepatkan adaptasi kepada teknologi terkini.

Pembangunan Infrastruktur dan Ekonomi Bandar turut disebut dalam kenyataan. Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan sokongan yang berterusan dari segi pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan bandar.

“Kami menyokong pelaburan yang diperuntukkan dalam belanjawan ini untuk memperbaiki infrastruktur dan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan, terutamanya bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang menjadi tunjang ekonomi tempatan”, ulas beliau.

2 lagi isu yang ditonjolkan ialah berkaitan “Isu Kesejahteraan Sosial dan Kos Sara Hidup”, serta “Kesediaan Menghadapi Cabaran Ekonomi Global”.

Dalam mengulas perkara tersebut, Ahmad berkata “Kami juga memandang serius usaha kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat. Sebagai ahli komuniti perniagaan, kami memahami bahawa kestabilan ekonomi bergantung kepada kesejahteraan masyarakat.

“Langkah-langkah yang diumumkan dalam belanjawan ini untuk menurunkan kos barangan keperluan asas dan meningkatkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah adalah sangat dialu-alukan”.

Dengan ketidaktentuan ekonomi dunia yang masih belum reda, Belanjawan 2025 memperlihatkan usaha kerajaan untuk memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan.

Beliau berharap sektor perniagaan Melayu akan diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam inisiatif yang disediakan oleh kerajaan, termasuk dalam sektor-sektor baru seperti tenaga hijau dan industri berasaskan teknologi tinggi.

“Kami akan terus menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara. Kami juga berharap agar semua pihak dapat berganding bahu dalam menjayakan pelan pembangunan ekonomi yang telah dirangka ini”,ujarnya.

PALING POPULAR

To Top