Umum

Berang diberi notis, pemilik premis makanan acu kapak terhadap anggota KKM

Berang diberi notis tidak mematuhi amalan kebersihan, seorang pemilik premis makanan bertindak mengacukan dua batang kapak terhadap anggota penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sebuah pusat perniagaan makanan di Kampung Koh dekat sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, lelaki berumur 56 tahun itu turut menghamburkan kata-kata kesat terhadap anggota penguatkuasa terlibat.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata kejadian dipercayai berlaku, apabila peniaga tersebut tidak berpuas hati diberi notis berkenaan dari pihak KKM, yang datang membuat penguatkuasaan pemantauan premis makanan dan mendapati berlaku pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan.

“Pihak penguatkuasa KKM mengeluarkan notis tersebut kerana premis makanan lelaki itu didapati tidak bersih, selain dia juga berkuku panjang dan memakai cincin ketika menjalankan perniagaan.

“Lelaki itu kemudian mengeluarkan dua batang kapak dari simpanannya sebelum mengacukan kepada anggota KKM itu, sebelum mereka bertindak beredar dari lokasi dan membuat laporan di Balai Polis Sitiawan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini hari ini.

Nor Omar berkata polis sudah mengenal pasti suspek dan akan menahannya dalam masa terdekat, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, serta Seksyen 186 Kanun sama iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Dalam pada itu, Nor Omar berkata pihaknya sedang memburu seorang lelaki dipercayai warga asing, yang dikatakan menunjukkan kemaluan kepada pekerja wanita, ketika membuat bayaran di kaunter sebuah kedai serbaneka, di sini pada 10 Jan lalu.

“Suspek dipercayai mempunyai niat menunjukkan kemaluannya kerana ketika memasuki kedai, zip seluarnya dikatakan tertutup, tetapi ketika membuat pembayaran zipnya terbuka pula,” katanya dan menambah mangsa, 23 tahun kemudian membuat laporan pada 15 Jan.

Nor Omar berkata siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan perkataan atau isyarat untuk mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Perbuatan individu tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan video rakaman itu yang berdurasi 39 saat tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dalam video itu, kelihatan lelaki tersebut yang tidak memakai pelitup muka membuat pembayaran barang dibelinya dengan kelihatan kemaluannya terkeluar dari seluarnya yang tidak berzip.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top