Mulai 1 Mei, semua ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan swasta diwajibkan memaparkan harga, selaras dengan pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) oleh kerajaan.
Langkah ini merangkumi semua jenis ubat untuk kegunaan manusia, termasuk ubat preskripsi, ubat over-the-counter (OTC), ubat tradisional, suplemen kesihatan serta ubat bancuhan khas (extemporaneous).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan bahawa pelaksanaan ini akan dimulakan secara berfasa selama tiga bulan pertama dengan pendekatan pendidikan dan pemantauan berperingkat.
Peraturan baharu ini dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 mengikut peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Semua ubat yang dipamerkan untuk jualan perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas. Bagi ubat yang tidak dipamerkan secara langsung atau disimpan di belakang kaunter, senarai harga mesti dipaparkan secara fizikal atau digital agar mudah diakses oleh pengguna.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, mekanisme ini bertujuan mempertingkatkan ketelusan dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga dengan lebih mudah.
Maklumat lanjut serta soalan lazim berkaitan pelaksanaan ini boleh didapati di laman web rasmi Program Perkhidmatan Farmasi KKM di www.pharmacy.gov.my, manakala sebarang pertanyaan boleh dikemukakan ke emel [email protected].
Pengguna juga boleh menyalurkan aduan berkaitan harga ubat melalui SISPAA KKM (https://moh.spab.gov.my) atau Portal eAduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my).
Untuk rekod, isu pemaparan harga ubat telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada Oktober 2023, dan diperkukuh melalui pembentangan bersama dalam Jemaah Menteri awal tahun ini.
