Umum

Bersatu serah notis kekosongan 6 kerusi Parlimennya kepada Speaker Dewan Rakyat

Gambar Parlimen

Naib Presiden Bersatu memaklumkan Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan 6 kerusi Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat pada Khamis.

Katanya dalam kenyataan, notis kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan ditandatanganinya selaku ketua whip Bersatu dan sudah diterima pejabat speaker Dewan Rakyat.

Tambahnya, mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam tempoh 21 hari selepas notis diterima.

“Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif.

“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan,” katanya dilaporkan media.

Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah semalam mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri disandang Azizi Abu Naim, selepas menerima notis bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan Azizi hilang keahlian Bersatu dan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi itu.

Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara 6 wakil rakyat Bersatu terlucut keahlian kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

PALING POPULAR

To Top