Umum

BN Kedah Ucap ‘Selamat Maju Jaya’ Kepada MIC Selepas Lulus Usul Kerjasama Dengan PN

Gambar Facebook

Barisan Nasional (BN) Kedah mengucapkan “selamat maju jaya” kepada MIC negeri selepas parti itu meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Usul tersebut dibangkitkan oleh seorang perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kedah yang turut dihadiri Presiden, SA Vigneswaran. Bagaimanapun, Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh, memaklumkan keputusan muktamad akan ditentukan kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

Ketua Penerangan BN Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, menyifatkan langkah itu sebagai isyarat bahawa MIC Kedah enggan lagi bekerjasama dengan BN dalam membina kekuatan politik di negeri tersebut.

“MIC Kedah bebas membuat pilihan politik sendiri. Namun, apabila pintu ini dibuka untuk keluar, jangan pula suatu hari nanti menuntut ruang atau keistimewaan dalam BN setelah menyokong pihak lawan,” katanya.

Beliau menegaskan BN Kedah tidak akan merayu atau mengemis sokongan daripada mana-mana pihak yang berpaling tadah, malah menganggap perpisahan ini sebagai peluang untuk bergerak lebih fokus tanpa beban menjaga hati pihak yang tidak lagi sehaluan.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, mendakwa parti itu dipinggirkan dalam kerajaan perpaduan kerana tidak menerima sebarang lantikan menteri atau timbalan menteri meskipun mempunyai kerusi di Parlimen.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top