Umum

Brahim’s Rancang Perluas Dapur Katering di Lapangan Terbang Pulau Pinang

Brahim’s Rancang Luas Dapur Katering di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada 2026

PUTRAJAYA – Brahim’s Dewina Group of Companies merancang untuk memperluaskan kemudahan dapur katering penerbangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada tahun 2026, selari dengan peningkatan ketibaan penerbangan dan jangkaan lonjakan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Pengerusi Eksekutif Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad, berkata pertambahan kekerapan penerbangan serta pembukaan laluan baharu, khususnya dari China, dijangka meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan katering penerbangan di PIA.

Menurut beliau, ketika ini Brahim’s menyediakan perkhidmatan katering kepada 18 syarikat penerbangan di PIA, manakala di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula, kumpulan itu berkhidmat kepada 31 syarikat penerbangan antarabangsa, termasuk Qatar Airways, Emirates, Japan Airlines (JAL), All Nippon Airways (ANA) dan Turkish Airlines.

“Dengan peningkatan trafik penerbangan dan fokus kerajaan terhadap sektor pelancongan, kami melihat keperluan untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim berkata Brahim’s kini kembali stabil selepas isu berkaitan lesen pengendalian darat (Ground Handling Licence – GHL) diselesaikan, sekali gus memastikan kelangsungan operasi katering penerbangan syarikat itu.

Beliau menjelaskan, perniagaan teras Brahim’s masih tertumpu kepada katering penerbangan, katering institusi termasuk ketenteraan dan universiti, selain pengeluaran makanan, dengan usaha berterusan untuk mendapatkan lanjutan kontrak kerajaan serta peluang baharu.

Di peringkat antarabangsa, Brahim’s turut merancang untuk menghidupkan semula kilang pengeluaran makanannya di Amman, Jordan, pada awal 2026 bagi menyokong penyediaan bantuan makanan kemanusiaan, termasuk untuk penduduk Gaza. Inisiatif tersebut dilaporkan mendapat sokongan rakan tempatan serta sokongan secara prinsip daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Bank Pembangunan Islam (IDB).

Mengulas industri halal, Ibrahim berpandangan bahawa ASEAN wajar mempunyai piawaian halal seragam, yang dapat memudahkan perdagangan antara negara anggota serta memperkukuh kedudukan produk halal ASEAN di pasaran global, seiring model kesatuan piawaian seperti Kesatuan Eropah (EU).

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top