UnionPay International (UPI) mengumumkan satu perkongsian strategik bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi melancarkan pembayaran QR UnionPay di Malaysia dalam separuh pertama tahun 2025. Kolaborasi ini menggariskan komitmen kedua-dua pihak untuk memajukan penyelesaian pembayaran digital di Malaysia dan meningkatkan ekosistem pembayaran negara yang semakin berkembang. Melalui perkongsian ini, BSN akan menyertai UnionPay sebagai anggota, mengembangkan portfolio pengendali sistem pembayarannya untuk merangkumkan UnionPay bersama-sama dengan Visa, Mastercard dan MyDebit.
Sebagai pengeluar kad debit ketiga terbesar di Malaysia dan mengurus lebih enam juta kad debit di seluruh negara, BSN beradaptasi dengan pilihan pengguna yang semakin berkembang untuk e-dompet dan transaksi tanpa sentuh. Dalam langkah strategik untuk memperkukuh kehadirannya dalam landskap pembayaran digital, BSN memperluas penyelesaian pembayaran dan penerimaannya untuk merangkumkan pembayaran QR. Inisiatif ini akan memperkasakan pelanggan, terutamanya pengguna muda yang celik digital dan berorientasikan perjalanan, untuk membuat pembayaran domestik dan antarabangsa yang lancar melalui sistem pembayaran QR UnionPay yang selamat dan diterima secara meluas.
“Kami berasa teruja untuk memulakan kolaborasi strategik ini bersama BSN, sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang terkemuka di Malaysia,” kata Dr. Jian Jiangtao, Ketua Serantau UnionPay International (Asia Tenggara). “Perkongsian ini membolehkan kami memperluas penyelesaian pembayaran digital kami sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem pembayaran digital Malaysia. Menerusi penyelesaian QR Pay maya ini, pengguna akan mendapat manfaat daripada kemudahan, keselamatan dan kawalan yang lebih baik ke atas perbelanjaan mereka, meningkatkan pengalaman kewangan mereka, terutamanya semasa perjalanan rentas sempadan.”
Encik Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN berkata, “Perkongsian bersama UPI ini menyaksikan peristiwa penting dalam perjalanan transformasi digital BSN. Penyelesaian pembayaran QR membolehkan pelanggan membuat transaksi dengan mudah di seluruh rangkaian luas UnionPay, termasuk China dan negara-negara lain yang mengambil bahagian. Pemudahan penerimaan QR Pay daripada BSN mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong perniagaan mikro dan PKS dalam menerima pakai penyelesaian pembayaran tanpa tunai.”
Kolaborasi antara UnionPay dan BSN ini memperlihatkan komitmen bersama terhadap inovasi dan peningkatan pengalaman pelanggan. Dengan memperkenalkan penyelesaian pembayaran QR yang diterima secara meluas ke Malaysia, BSN bersedia untuk menawarkan pilihan pembayaran moden dan lancar yang disesuaikan dengan keperluan masyarakat tempatan yang semakin berkembang.