Kerajaan mengumumkan penyelarasan sementara had kelayakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April 2026.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil secara teliti susulan tekanan ekonomi global, khususnya akibat konflik berterusan di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia.
“Saya mohon sangat-sangat kerjasama rakyat supaya memahami… langkah ini terpaksa diambil bagi menjaga kepentingan ramai,” katanya dalam perutusan khas.
Langkah Sementara Ketika Krisis Tenaga
Menurut beliau, penyelarasan ini bersifat sementara sehingga pasaran minyak dan ekonomi global kembali stabil, walaupun setakat ini belum ada tanda pemulihan jelas.
Walaupun had dikurangkan, harga RON95 kekal RM1.99 seliter, sekali gus memastikan majoriti rakyat terus menikmati subsidi bahan api.
Beban Subsidi Cecah RM4 Bilion Sebulan
Kementerian Kewangan memaklumkan beban subsidi petrol dan diesel kini meningkat kepada sekitar RM4 bilion sebulan, berbanding kira-kira RM3 bilion sebelum ini.
Peningkatan ini didorong oleh lonjakan harga minyak mentah global yang kini melepasi USD100 setong, susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Kerajaan turut menegaskan bahawa mengekalkan harga bahan api pada kadar semasa memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.
90% Rakyat Tidak Terjejas
Dalam kenyataan sama, kerajaan memaklumkan bahawa hampir 90 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan pelarasan had ini.
Antara langkah lain yang diumumkan:
- Had 800 liter dikekalkan bagi pemandu e-hailing
- Had pengisian diesel sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan
- Penguatkuasaan dipertingkat bagi mengekang ketirisan
Amaran Tegas Terhadap Penyelewengan
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aktiviti penyeludupan dan penyelewengan subsidi yang boleh mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan.
“Kita tidak boleh beri subsidi, kemudian melihat ada penyeludupan… setiap langkah penyelewengan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan,” tegas beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang membantu melaporkan aktiviti mencurigakan di stesen minyak.
Imbangi Rakyat & Fiskal Negara
Kerajaan menegaskan langkah ini bertujuan mengimbangi antara memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan mengekalkan kemampanan kewangan negara dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.
“Dalam tempoh mencabar ini, disiplin dan kebersamaan kita menjadi kekuatan utama,” kata Anwar.
