Buku berjudul “Jejak Haramain ke Istanbul: Februari 1910–November 1910” telah dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Kuala Lumpur pada 5 mei 2025.
Hadir sama pada majlis tersebut, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Al Marhum Tunku Syed Idrus Al Qadri, Tunku Besar Tampin; YBhg. Tan Sri Samsudin Osman, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah Binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Kerabat Diraja Pahang; YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar Rektor UIAM dan YBhg. Dato’ Sri (Dr.) Syed Hussein bin Abd Kadir A-Habshee, Cucunda kepada Pengarang.
Buku ini merupakan terbitan IIUM Press memaparkan catatan perjalanan ulama terkemuka, Allahyarham Habib Shaikh Muhammad Hussein Al-Habshee, yang mengembara ke Makkah, Palestin, dan Istanbul pada awal abad ke-20. Tujuan utama perjalanan tersebut adalah untuk mengukuhkan silaturahim Islam dan memperluas jaringan keilmuan.

TYT Tun Dr Mohd Ali bin Rustam bersama jemputan VIP semasa pelancaran buku Jejak Haramain ke Istanbul
Dalam ucapan pada majlis pelancaran tersebut, Rektor IIUM, Prof Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, menyifatkan buku ini sebagai dokumen penting dalam menyambung kesinambungan sejarah dan warisan keilmuan Islam di rantau ini. Beliau menekankan bahawa ilmu yang hakiki memerlukan tiga asas: niat yang benar, perjalanan yang tulus, dan rasa hormat kepada tradisi. Buku ini juga mencerminkan misi IIUM sebagai “Taman Ilmu dan Budi”.
Seterusnya, Syed Hussien Abd Kadir Al-Habshee, cucu kepada Allahyarham Habib Shaikh, menyatakan bahawa semangat rihlah ilmu dalam buku ini perlu disuburkan semula, terutama dalam kalangan belia masa kini. Beliau berharap buku ini dapat memberi inspirasi kepada generasi hari ini untuk terus menjejaki jalan ilmu, keperibadian, dan keimanan.

Dato Seri Syed Hussein memberi ucapan pada majlis pelancaran buku “Jejak Haramain ke Istanbul”
“Penerbitan buku ini bukan sekadar penghormatan kepada datuk saya, lebih penting ia bertujuan memberi inspirasi kepada generasi hari ini untuk terus menjejaki jalan ilmu, keperibadian dan keimanan,” ujarnya
Sebagai tambahan, turut diumumkan beliau buku Jejak Haramain ke Istanbul akan diterjemahkan ke dalam bahasa Turki, susulan permintaan peribadi daripada Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.
