Isu buli di Malaysia terus menjadi perhatian apabila beberapa laporan terkini mendedahkan insiden bukan sahaja berlaku di sekolah, malah di kem tentera, IPT dan ruang siber.
Ramai pakar menegaskan buli tidak wajar dianggap sekadar masalah disiplin, tetapi harus dilihat sebagai kes jenayah yang mendatangkan kesan serius kepada mangsa.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita (Wan Azliana Wan Adnan) berkata masih ramai tidak memahami kesan sebenar buli sama ada secara fizikal mahupun mental.
“Kalau mereka faham buli adalah perbuatan jenayah, mereka tidak akan melakukannya,” katanya kepada FMT.
Menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ribuan kes buli direkodkan setiap tahun, dan ramai percaya jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana masih ramai mangsa enggan tampil membuat laporan rasmi.
Malaysia Health and Humanitarian Organisation (MHHO) turut menekankan perlunya perlindungan lebih kukuh kepada mangsa dan saksi. MHHO berpendapat budaya ‘menutup kes’ demi menjaga imej sekolah atau organisasi mesti dihentikan segera.
“Kes buli bukan isu terpencil. Ia boleh mendatangkan trauma fizikal, emosi dan mental yang berpanjangan, malah dalam beberapa kes membawa kepada kematian,” kata wakil MHHO.
Beberapa insiden besar, termasuk penderaan anggota tentera dan buli siber yang menyebabkan mangsa bunuh diri, mencetuskan desakan rakyat agar undang-undang diperkukuh. Pindaan terbaru Kanun Keseksaan pada Disember 2024 memperkenalkan Seksyen 507B–507G yang menghukum doxing dan penghinaan siber dengan penjara sehingga 3 tahun.
Pakar menggesa agar unit pencegahan khas diwujudkan di sekolah, IPT dan tempat kerja, selain mempermudah proses laporan polis tanpa halangan birokrasi.
📌 NH Online menyeru semua pihak agar sentiasa peka, membantu mangsa dan bersama menghentikan budaya mendiamkan kes buli.
