Pengeluar kereta elektrik (EV) terkemuka dari China, BYD, akan membuka kilang pemasangan di Tanjong Malim bagi menghasilkan kenderaan elektrik tempatan bermula tahun 2026.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee, kerja awal telah bermula sejak Julai lalu, manakala pembinaan dijangka dimulakan pada akhir Ogos. Majlis pelancaran rasmi akan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pada 4 September ini.
📌 Fasa pertama projek:
- Kawasan meliputi 60 hektar
- Menyediakan ribuan peluang pekerjaan
- Memberi peluang kerjasama lebih luas kepada syarikat tempatan dalam rantaian bekalan automotif
- Meningkatkan kemahiran teknologi hijau di kalangan tenaga kerja tempatan
Loh menambah, projek ini adalah hasil pelaksanaan “speed lane” bagi mempercepatkan kelulusan pelaburan strategik.
Kehadiran BYD juga dijangka mengukuhkan ekosistem automotif di Perak, dengan sinergi Proton-Geely, sokongan industri di utara Selangor, serta cadangan penubuhan pusat penyelidikan & pembangunan (R&D) di Sungkai.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan kilang EV pertama Proton Holdings Bhd hampir siap dengan kemajuan keseluruhan 87%.
Buat masa ini, kereta elektrik BYD yang dijual di Malaysia – dari RM100,000 (Atto 2) hingga RM183,000 (Sealion 7) – masih diimport dari China.
