Genting Malaysia Berhad mengesahkan bahawa akan dikenakan caj jalan persendirian (Private Road Charge) bagi kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands, pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Menurut syarikat itu, langkah ini perlu bagi menampung kos penyelenggaraan yang semakin meningkat melibatkan jalan sepanjang 24 kilometer serta cerun-cerunnya, yang selama ini ditanggung sepenuhnya oleh Genting Malaysia sejak tahun 1960-an.
Dibina oleh Genting Malaysia di kawasan tanah tinggi yang mencabar, Jalan Genting Highlands merupakan laluan utama ke Resorts World Genting serta ke pelbagai destinasi peranginan lain di kawasan pergunungan tersebut.
“Penggunaan jalan yang tinggi telah menyebabkan kehausan dan kerosakan yang ketara, memerlukan penyelenggaraan berterusan demi keselamatan pengguna. Berdasarkan prinsip ‘pengguna membayar’, caj jalan persendirian adalah langkah paling mampan,” jelas kenyataan syarikat itu.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen Genting Malaysia untuk memastikan keselamatan dan kelestarian jalan tersebut terus terjamin, serta kekal boleh diakses oleh jutaan pelancong, penduduk dan perniagaan di kawasan Genting Highlands.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa inisiatif ini adalah inisiatif persendirian sepenuhnya, kerana jalan dan tanah tersebut dimiliki oleh pihak Genting Malaysia sendiri. Pasukan penyelenggaraan dan respons kecemasan juga ditempatkan di pertengahan bukit dan puncak bukit sepanjang masa (24/7) bagi menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.
“Kerja-kerja di kawasan tanah tinggi amat mencabar dan berisiko tinggi, namun ia penting untuk memastikan keselamatan jalan dan cerun terus terpelihara,” menurut kenyataan itu lagi.
Sejak sekian lama, Jalan Genting Highlands memainkan peranan penting dalam merancakkan industri pelancongan dan ekonomi tempatan, membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan, selain menyumbang kepada ekonomi negeri Pahang serta negara secara keseluruhan.
