Business

Co-opbank Pertama diiktiraf Koperasi Premier Malaysia kali ke-4 berturut

Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) diiktiraf salah satu Koperasi Premier Malaysia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), buat kali keempat berturut-turut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar pengiktirafan itu sebagai penghargaan kepada CBP atas kerjasama dan usaha diberikan seluruh warganya serta turut disokong pengawal selia, anggota termasuk pelanggan.

“Pengiktirafan ini juga memberi peluang kepada CBP untuk mengukuhkan lagi jenama di dalam industri kewangan negara.

Dengan kepelbagaian produk dan perkhidmatan perbankan berkualiti, kami yakin untuk terus memberi persaingan sihat yang secara tidak langsung dapat membantu masyarakat Malaysia, katanya dalam kenyataan.

Anugerah disampaikan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di Melaka pada 4 Sept lalu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Terdahulu, CBP menjadi koperasi pertama di Malaysia menerima penarafan FI Rating A3/Stable/P2 daripada RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).

Sementara itu, Khairil berkata pihaknya akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan perbankan baharu untuk pelanggan runcit serta korporat.

Katanya, ketika ini CBP turut membuka langganan syer kepada orang ramai di semua cawangan CBP di seluruh negara hingga 31 Dis.

“Pembukaan semula langganan syer ini dilihat dapat menyokong pertumbuhan perniagaan CBP bagi tahun 2024 selaras pelaksanaan Pelan Strategik CBP 2022-2026.

Pembukaan semula syer ini terbuka kepada anggota baharu dan sedia ada dengan jumlah maksimum hingga RM5 juta bagi individu dan hingga RM200 juta bagi koperasi, katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top