Umum

Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 Pacu Pertumbuhan Industri Kecantikan Sabah

Platform perdagangan kecantikan terkemuka negara, Cosmobeauté Malaysia dan beautyexpo, bakal mengembangkan sayap ke Malaysia Timur menerusi penganjuran Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026.

Edisi sulung festival itu dijadual berlangsung pada 25 hingga 26 Mei 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), dengan tema “Beauty Beyond Borders”.

Acara dua hari itu dijangka menghimpunkan kira-kira 50 pempamer dari Malaysia, China, Korea dan Taiwan, serta menarik lebih 1,500 pengunjung perdagangan termasuk pengedar, peruncit, pemilik salon dan profesional industri kecantikan.

Pengerusi penganjur, Abdul Rahman Mamat, berkata penganjuran festival ini merupakan langkah strategik untuk menghubungkan ekosistem kecantikan di Kuala Lumpur dengan pasaran yang berkembang pesat di Sabah, Sarawak dan rantau Borneo.

“Pasaran di Malaysia Timur semakin matang dengan pengguna yang lebih peka terhadap produk dan kualiti. Platform ini akan memudahkan hubungan perniagaan dan mempercepatkan akses kepada jenama serta inovasi baharu,” katanya.

Industri kecantikan di Malaysia Timur dilihat semakin berkembang, didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk profesional serta peningkatan kesedaran pengguna, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Penganjuran festival ini juga bertujuan memperluas akses kepada jenama antarabangsa, memperkukuh rantaian bekalan serta menyokong pertumbuhan lebih seimbang di seluruh negara, bukan hanya tertumpu di Lembah Klang.

Selain membuka peluang kepada jenama untuk menembusi pasaran baharu, acara ini turut memberi manfaat kepada peruncit dan pengedar melalui akses sumber yang lebih langsung, serta membantu profesional industri meningkatkan kemahiran dan standard perkhidmatan.

Pendaftaran pengunjung kini dibuka kepada pemain industri yang berminat untuk meneroka peluang baharu dalam pasaran Malaysia Timur.

Festival ini juga berperanan sebagai platform penghubung kepada acara utama Cosmobeauté Malaysia & beautyexpo di Kuala Lumpur, yang akan berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top