Umum

DAP menyatakan hasrat kaji semula dasar terima darjah kebesaran

Gambar Facebook Anthony Loke

Setiausaha Agung Loke Siew Fook menyatakan DAP akan mengkaji semula dasar parti yang melarang wakil rakyat dari partinya menerima anugerah atau darjah kebesaran ketika memegang jawatan.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata, perkara itu sudah dibahaskan selama bertahun-tahun dan kajian semula wajar memandangkan peranan besar DAP dalam kerajaan persekutuan dan negeri sejak 17 tahun lalu.

Menurut beliau, dasar sedia ada mungkin terlalu ketat terutama dalam kes di mana pemerintah negeri menyatakan hasrat menganugerahkan darjah kebesaran kepada pemimpin DAP.

“Sebagai contoh di Selangor, (Exco) Ng Suee Lim ditawarkan darjah kebesaran. Tetapi mengikut peraturan parti, beliau perlu menolak anugerah itu,” katanya ketika berucap dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

“Jika peraturan kita terlalu ketat, kita mungkin dilihat sebagai kasar. Oleh itu, kita harus membenarkan sedikit kelonggaran.”

Pada 2018, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) meluluskan resolusi dan mengeluarkan nasihat bertulis kepada semua wakil rakyat serta ahli majlis tempatan DAP, menggesa mereka tidak menerima anugerah dan darjah kebesaran sepanjang berkhidmat dalam politik.

Pada konvensyen biasa DAP Sabah Oktober lalu, Loke berkata peraturan larangan penerimaan darjah kebesaran akan dibahaskan dalam kongres kebangsaan kali ini.

Namun, hari ini beliau berkata CEC akan menetapkan kriteria bagi sebarang pencalonan darjah kehormat.

“Perlu ada syarat. Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat CEC akan datang supaya dasar lebih fleksibel dapat dilaksanakan.”

Beliau berkata, DAP menghargai dan mengiktiraf darjah kebesaran dianugerahkan kepada pemimpin bersara, menyatakan ‘penghormatan tertinggi diberikan kepada Tan Sri Lim Kit Siang adalah tanda penghormatan yang besar’.

Bagaimanapun, Loke menjelaskan kelonggaran dasar itu tidak bermaksud setiap wakil rakyat DAP yang kini berkhidmat sebagai menteri atau timbalan menteri harus menerima darjah kehormat secara automatik.

“Saya tak (akan) minta apa-apa. Saya rasa…saya kekal sebagai ‘encik’ atau ‘saudara’,” selorohnya disambut gelak tawa hadirin.

“Tetapi kalau ada mana-mana wakil rakyat yang dicadangkan oleh Tuanku Sultan atau Yang Dipertua Negeri, ia perlulah dibentangkan kepada CEC untuk dipertimbangkan secara kes demi kes…secara lebih lunak, fleksibel. Jadi kita akan bincangkan dasar yang lebih longgar ini.”

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top