Umum

Dasar gaji progresif dijangka dilaksanakan Oktober

Gambar Facebook

Dasar Gaji Progresif (DGP) dijangka dilaksanakan secara menyeluruh pada Oktober ini kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad.

Menurut Timbalan Menteri itu, pelaksanaannya adalah selepas penilaian impak projek rintis DGP pada September selain menyatakan pelaksanaan projek rintis DGP bermula bulan ini hingga Ogos.

“Sehingga Jun 2024, Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (Jheks), dan Kementerian Ekonomi telah menganjurkan serta menghadiri sebanyak 16 sesi libat urus melibatkan wakil majikan dan pekerja.

“Berdasarkan sesi libat urus, didapati majoriti majikan dan pekerja memberikan maklum balas positif terhadap pelaksanaan DGP,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin tahu mengenai status pelaksanaan DGP di peringkat kementerian dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.

Abdul Rahman berkata, permintaan majikan menyertai projek rintis DGP juga semakin meningkat dan sehingga hari ini, seramai 237 daripada 732 majikan yang telah membuka akaun menerusi sistem DGP, memohon untuk menyertainya.

“Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk pembayaran insentif kepada 1,000 majikan. Pembayaran insentif kepada majikan dijangka pada Oktober ini apabila majikan mengemukakan tuntutan yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Pemberian insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya

 

 

PALING POPULAR

To Top