Umum

DBKL batalkan sambutan Ambang Merdeka

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pembatalan sambutan Ambang Merdeka 2024 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 30 Ogos ini.

Menurut hantaran di laman Facebook DBKL, pembatalan itu sebagai menghormati mangsa beberapa insiden yang berlaku di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Sehubungan itu, DBKL turut mengajak orang ramai bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.

Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita warga India dikenali Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang benam sedalam 8m dengan operasi mencari dan menyelamat akan memasuki hari ketujuh hari ini.

DBKL dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memasuki saluran kumbahan dari lurang di Wisma Yakin, manakala kerja-kerja shoring secara manual dan penggalian juga dilaksanakan.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains akan disambung hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman dilaporkan media berkata, pihaknya mengesan halangan berupa objek tersekat antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua yang terletak kira-kira 80m.

Katanya, dapatan itu hasil pengesanan dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian petang semalam, selain pengesanan kamera.

Poster Pembatalan Sambutan Ambang Merdeka

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top