Umum

DBKL tebang 173 pokok berisiko tinggi sejak 2019

Gambar DBKL

Sebanyak 173 pokok ditebang daripada 1,488 pokok berusia di sekitar ibu kota yang diperiksa sejak 2019 hingga kini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa, penilaian itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain pemeriksaan berterusan akan dilakukan terhadap pokok-pokok berusia.

“Bagi mencerminkan komitmen DBKL, sebanyak 21 kontraktor dilantik bermula 15 Jun 2024 bagi penyelenggaraan pokok rendang secara berkala dan setiap kontraktor perlu menyediakan seorang arboris, iaitu individu yang pakar dalam pemeriksaan pokok, untuk menilai tahap kesihatan dan tindakan mitigasi ke atas pokok,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu tindakan dalam memastikan pokok di bawah seliaan DBKL dan premis persendirian mematuhi garis panduan untuk mengelakkan ancaman bahaya kepada orang awam.

Mengenai kerja-kerja penyelenggaraan pokok, beliau berkata menurut rekod DBKL, sejak Januari sehingga Jun kerja-kerja penyelenggaraan telah dijalankan ke atas 22,283 batang pokok.

Tambahnya lagi, DBKL mengeluarkan 65 surat pemberitahuan mengenai pokok-pokok berisiko di kawasan persendirian hasil aduan orang awam sejak 2021 sehingga Mei lepas.

Menjawab soalan Zahir mengenai data insiden kecederaan dan kemalangan akibat pokok tumbang di Kuala Lumpur, beliau berkata terdapat 14 kes kemalangan yang disebabkan kejadian itu dengan sembilan kes menyebabkan kecederaan dan lima kes kematian bagi tempoh 2017 hingga 2024.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, tiga kes masih dalam siasatan dan prosiding mahkamah, enam kes ditolak kerana kemalangan berlaku di luar kawasan seliaan DBKL, manakala baki lima kes lagi selesai dibayar oleh pihak insurans.

 

PALING POPULAR

To Top