Umum

DBKL Turunkan Caj Tapak Bazar Ramadan 2026, Had Maksimum RM400

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan kadar caj maksimum RM400 bagi tapak Bazar Ramadan 2026 di bawah seliaannya, iaitu pengurangan RM100 berbanding RM500 pada tahun lalu.

Langkah itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan menyeluruh penganjuran Bazar Ramadan 2026 selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tadbir urus, melindungi kebajikan penjaja kecil serta menjaga kepentingan awam.

Menurut beliau, penganjuran bazar tahun ini berteraskan prinsip tersusun, telus, berintegriti dan adil, melibatkan kawal selia pihak berkuasa tempatan, penglibatan komuniti penjaja serta keutamaan kepada keselesaan pengguna.

Bagi tahun 2026, DBKL meneruskan pelaksanaan model pengurusan hibrid yang mengekalkan peranan DBKL dalam aspek kawal selia, pelesenan dan penguatkuasaan, manakala persatuan penjaja bertanggungjawab mengurus operasi harian tapak bazar.

Pendekatan itu dilaksanakan hasil penilaian pelaksanaan terdahulu, dapatan post-mortem operasi serta libat urus bersama pihak berkepentingan bagi menutup kelemahan sedia ada dan memperkemas peranan setiap pihak.

Antara isu utama yang dikenal pasti sebelum ini termasuk pelaksanaan permohonan terbuka dan penawaran petak melalui proses undian yang menyebabkan penafian hak penjaja berlesen sedia ada di beberapa lokasi, selain ketidakpuasan hati persatuan penjaja yang tidak dapat membantu ahli mereka yang telah lama berniaga di tapak tertentu.

Bagi penganjuran tahun ini, sebanyak 41 lokasi petak niaga terlibat, dengan sembilan lokasi di bawah seliaan DBKL manakala 32 lokasi dikendalikan oleh persatuan penjaja.

Tiga persatuan utama terlibat iaitu Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL), bagi memastikan penglibatan menyeluruh penjaja di peringkat akar umbi serta pemantauan yang lebih jelas.

Bagi mengelakkan beban kewangan yang tidak munasabah, kerajaan turut mewajibkan kadar caj maksimum RM400 dikenakan oleh persatuan penjaja.

Kerajaan MADANI menegaskan bahawa sebarang amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang sama sekali, dan tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pelanggaran, termasuk yang melibatkan penganjur.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top