Umum

Dividen Simpan SSPN dijangka meningkat

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkakan peningkatan pemberian dividen Simpan SSPN kepada pendeposit tahun ini.

PTPTN merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM341.54 juta, bagi tempoh Januari hingga September lalu, lebih baik berbanding RM287.64 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3% sejak 3 Mei 2023 sehingga kini menggalakkan nilai pelaburan PTPTN serta keuntungan disokong strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan, sekali gus melindungi prinsipal termasuk pulangan tinggi.

Menurut Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, beliau optimis pemberian kadar dividen Simpan SSPN tahun ini dijangka meningkat, berbanding 3.6% direkodkan pada 2023 yang lebih baik dibandingkan 3.05%, tahun sebelumnya.

Keyakinan itu berdasarkan peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN yang membanggakan setiap tahun, hasil kecekapan pengurusan PTPTN diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Dasuki Abdul Majid.

“Justeru itu, saya menyeru kepada ibu bapa membuat simpanan dalam Simpan SSPN sebagai langkah proaktif merancang masa depan pendidikan anak-anak untuk jangka masa panjang selain menikmati kadar dividen Simpan SSPN tahun 2024 yang dijangkakan terus meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Norliza berkata, selain menawarkan dividen kompetitif, Simpan SSPN menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful ke atas pendeposit.

Geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga layak dan simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.

Menurut Norliza, PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menabung Simpan SSPN bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi terjamin.

“Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan,” katanya.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top