KUALA LUMPUR — Pendedahan mengenai kewujudan ‘doktor’ warga asing yang menawarkan rawatan tanpa lesen serta membekalkan ubat-ubatan tidak berdaftar di sekitar Pudu bukan sekadar isu pelanggaran imigresen, malah mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan kesihatan awam.
Dalam operasi khas petang semalam, Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama penguatkuasaan farmasi Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur menyerbu sembilan lokasi di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, hasil risikan selama dua minggu. Operasi itu membawa kepada penahanan 18 lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 51 tahun, termasuk enam individu yang menyamar sebagai ‘doktor’.
Premis terbabit dikesan beroperasi secara berselindung di sebalik perniagaan sah seperti kedai runcit, kedai makan, kedai gunting rambut dan kaunter pelancongan, manakala bahagian belakang diubah suai menjadi bilik pemeriksaan serta stor penyimpanan ubat-ubatan.
Pemeriksaan turut menemukan pelbagai jenis ubat bagi rawatan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol, selain antibiotik serta ubat tahan sakit yang sepatutnya hanya diberikan melalui preskripsi doktor bertauliah. Semua ubat berkenaan didapati tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut pihak berkuasa, kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga asing yang memilih rawatan di premis berkenaan kerana caj lebih murah serta kemudahan berkomunikasi dalam bahasa ibunda.
Mengulas isu ini, Malaysia Health and Humanity Organisation (MHHO) menyifatkan kewujudan klinik haram dan penggunaan ubat tidak berdaftar sebagai ancaman serius yang tidak boleh dipandang ringan.
“Rawatan perubatan tanpa lesen dan penggunaan ubat yang tidak diluluskan bukan sahaja membahayakan pesakit dari segi risiko dos tidak tepat, komplikasi serta kesan sampingan yang tidak diketahui, malah boleh memberi implikasi lebih luas terhadap kesihatan awam, termasuk risiko rintangan antibiotik,” menurut MHHO.
Menurut organisasi itu, isu berkenaan juga perlu dilihat dari sudut kemanusiaan dan akses kesihatan, khususnya melibatkan komuniti rentan.
“Ramai pekerja migran mendapatkan rawatan tidak sah kerana kekangan kewangan, halangan bahasa dan kebimbangan untuk tampil mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan rasmi. Keadaan ini memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kesedaran kesihatan, akses rawatan asas yang selamat serta penguatkuasaan berterusan,” katanya.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati ubat-ubatan tersebut dipercayai dibawa masuk dari luar negara dalam kuantiti besar sebelum dijual pada harga antara RM50 hingga RM100.
Kesemua individu yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, salah guna pas dan tinggal lebih masa.
Pendedahan ini sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa rawatan murah tanpa kelulusan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko kesihatan yang serius, sekali gus menuntut kesedaran awam serta tindakan bersepadu semua pihak.
