Pengurus pasukan Sri Pahang FC, Dollah Salleh, 59, terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabas di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu membabitkan MPV yang dinaiki tujuh orang penumpang serta dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun.
“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah, Pahang menuju ke Shah Alam, Selangor.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba kenderaan yang dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan laluan arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kesemua mangsa tidak cedera namun Dollah dan isterinya, Roslina Ibrahim, 58, mengalami kesakitan di bahagian belakang tengkuk dan dada.
“Mereka dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” katanya.
*Berita asal di Sinar Harian