Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini mengumumkan pelantikan Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, 51, sebagai Ketua Eksekutif baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Dr. Syed Alwi membawa lebih 27 tahun pengalaman dalam kepimpinan strategik merentas sektor perkhidmatan kewangan, teknologi perbankan dan perundingan pengurusan. Sepanjang kerjayanya, beliau berjaya memacu pertumbuhan organisasi, memperkukuh institusi kewangan serta memperkenalkan penyelesaian inovatif dan berfokuskan masa depan yang sejajar dengan strategi kewangan jangka panjang bagi memberikan impak yang mampan kepada pihak berkepentingan.
Beliau pernah menyandang jawatan utama sebagai Pengarah Urusan BNP Paribas Malaysia Bhd (Perbankan Islam), Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sepanjang kerjayanya, Dr. Syed Alwi turut memegang beberapa jawatan kanan di institusi kewangan terkemuka di peringkat global dan serantau termasuk Standard Chartered Saadiq, The Islamic Bank of Asia (Singapura), HL Bank (Singapura) dan MRANTI Corporation. Beliau memainkan peranan penting dalam mencapai kecemerlangan operasi secara pantas serta meningkatkan nilai organisasi kepada pihak berkepentingan.
Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Kewangan dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan turut memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kelas pertama dalam Kewangan Islam dari UIAM. Dr. Syed Alwi juga menamatkan Program Fintech Oxford di Saïd Business School, University of Oxford, dan pernah menerima Rector’s Award ketika di UIAM.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), HRD Corp berperanan memungut levi daripada industri strategik dan mengagihkan geran latihan untuk memperkasakan pembangunan tenaga kerja berkemahiran di Malaysia. Pelantikan Dr. Syed Alwi dijangka memperkukuh hala tuju strategik organisasi dalam memacu agenda transformasi digital, inovasi serta memperkukuh modal insan negara.
