Umum

Dua lemas ketika selamatkan emak

Dua lelaki lemas ketika menyelamatkan wanita kesayangan mereka yang lemas di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, Abdul Rahman Ramli, 26, dan abang iparnya, Ahmad Asymuni Idris, 42, ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibu, adik-beradik dan anak saudara pergi ke sungai itu untuk mandi.

Menurutnya, polis dimaklumkan semasa mandi, ibu mangsa hampir lemas menyebabkan mangsa cuba untuk menyelamatkan.

“Wanita itu dapat diselamatkan, tetapi kedua-dua mangsa lemas dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Gerik di tempat kejadian.

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat lemas,” katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top