Umum

Dua Rakan Didakwa Rogol, Amang Seksual Remaja 14 Tahun di Klang

KLANG, 20 Februari 2026 – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Irfan Mohamad, 25, yang bekerja sebagai eksekutif jualan dan Ahmad Hamzi Alias, 25, seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA), bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Irfan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah bilik di rumah sewa di Puncak Alam pada jam 3 petang, 6 Februari lalu.

Ahmad Hamzi pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama di lokasi yang sama pada jam 5.30 pagi, 7 Februari.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Isu Jaminan

Timbalan Pendakwa Raya memohon agar tiada jaminan ditawarkan. Namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan termasuk melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Pihak pembelaan memohon jumlah jaminan dikurangkan atas faktor pendapatan serta tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dan RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 April ini.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top