Umum

Dunia terlalu fokus pada peperangan, konflik Timur dan Barat – Tun Mahathir

Dunia dilihat terlalu fokus kepada konflik antara Timur dan Barat serta melawan musuh, walaupun hakikatnya ada isu lain yang lebih memerlukan perhatian.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, isu seperti perubahan iklim yang amat memerlukan penyelesaian segera, diabaikan kerana lebih menumpukan kepada hal peperangan dan pertelingkahan antara kuasa besar.

“Saya sentiasa menentang peperangan. Saya rasa ia tidak bertamadun. Membunuh untuk menyelesaikan konflik adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang bertamadun. Tetapi nampaknya, kita sudah ketagih.

“Apabila kita menghadapi masalah, kita berperang dan kita membunuh orang. Pada penghujungnya, sama ada anda menang atau kalah, anda tidak mendapat apa-apa, anda tidak menyelesaikan apa-apa. Itulah hasil yang anda perolehi selepas Perang Dunia kedua.

“Saya tidak tahu bila kita akan mengatasi tabiat membunuh orang sebagai jalan untuk menyelesaikan konflik antara negara. Walaupun saya mungkin tidak ada lagi ketika ia berlaku, tetapi saya berharap anak-anak muda akan menolak peperangan sebagai cara untuk menyelesaikan masalah atau konflik antara negara.

“Dalam masa yang sama, kita sedang melalui perubahan iklim. Impak utama perubahan iklim ialah bumi semakin panas. Apabila iklim semakin panas, ais akan mencair sekali gus menaikkan paras laut. Akan ada penyejatan. Akan ada pembentukan awan, angin kencang, dan kemudian akan ada ribut yang teruk, dan ribut itu akan mengakibatkan hujan yang sangat lebat yang akan menyebabkan banjir,” katanya ketika berucap di majlis perhimpunan Kesatuan Oxford, baru-baru ini.

Jelasnya, hakikatnya dalam dunia hari ini, lebih banyak masa dihabiskan bagi mencipta senjata baharu, membelanjakan wang untuk senjata canggih yang boleh membunuh lebih ramai orang berbanding sebelum ini.

“Golongan muda harus lebih mampu memikirkan cara untuk menjadi hidup aman dan menangani masalah.

Tetapi nampaknya, kita tidak beri tumpuan ke arah itu. Kita memperoleh ilmu di sekolah dan universiti tetapi kita tidak diajar tentang cara menggunakan ilmu tersebut,” tegasnya.

Tambahnya lagi, krisis global disebabkan pandemik COVID-19 membayangkan betapa setiap negara mempunyai sikap mementingkan diri sendiri, ketika mereka sepatutnya bekerjasama menangani masalah tersebut.

“Wabak ini telah membawa kerosakan yang teruk kepada seluruh dunia. Seluruh dunia terjejas tetapi kita tidak bertindak sebagai satu unit. Setiap negara mengambil langkah sendiri untuk melindungi diri mereka dan sudah tentu negara kaya telah memonopoli dalam hal tertentu, contohnya pemberian vaksin,” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top