Umum

ECRL alami kerugian RM2.9 juta akibat kecurian kabel di Terengganu dan Pahang

Sebanyak 38 kes kecurian kabel dan komponen lain dilaporkan berlaku di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Terengganu dan Pahang dari Januari hingga September tahun ini, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM2.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pihaknya telah mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi menangani masalah itu termasuk memasang 116 unit kamera litar tertutup (CCTV) dan mengupah 67 pengawal keselamatan bagi memantau kawasan yang sering menjadi sasaran pencuri.

“Kes ini tidak tertumpu di satu lokasi sahaja. Kami juga mendapat kerjasama baik daripada semua negeri yang terlibat. Namun, kami mahu semua pihak memandang serius isu ini kerana ia boleh menjejaskan jadual pembukaan operasi ECRL jika berterusan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, kemajuan pembinaan projek ECRL di Terengganu kini telah mencapai 93.55%, manakala secara keseluruhan projek ini telah siap 88.08%.

“Ini menunjukkan kami berada di landasan tepat untuk menyiapkan projek sepenuhnya menjelang Disember 2026, dan memulakan operasi pada Januari 2027,” jelasnya lagi.


🟩 Info Projek ECRL

  • Laluan utama menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga ke Port Klang, Selangor.
  • Projek sepanjang 665 kilometer ini dijangka memendekkan masa perjalanan Pantai Timur–Lembah Klang kepada hanya empat jam.
  • ECRL merupakan antara projek infrastruktur strategik nasional yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top