Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki ibu negara antara 26 hingga 28 Oktober ini jika tiada urusan penting, sempena berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata penutupan dan lencongan jalan akan dilakukan secara berkala bagi melancarkan pergerakan delegasi luar negara dan memastikan keselamatan sepanjang sidang berlangsung.
Beliau memaklumkan penutupan jalan berperingkat telah bermula sejak 17 Oktober dan akan dipertingkatkan pada tarikh utama sidang kemuncak, terutama ketika majlis rasmi diadakan.
“Orang ramai disarankan untuk mengelak kawasan pusat bandar tanpa urusan penting, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam,” katanya pada sidang media Raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC hari ini.
Antara jalan utama yang akan terkesan termasuk:
- Jalan Ampang
- Jalan Sultan Ismail
- Jalan Tun Razak
- Jalan P. Ramlee
- Jalan Pinang
- Persiaran KLCC
Beberapa lebuh raya utama juga terlibat, antaranya Maju Expressway (MEX), ELITE, NKVE dan Guthrie Corridor Expressway (GCE).
Khalid menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan gangguan sepanjang sidang berlangsung.
“PDRM akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang terhadap sebarang cubaan mengganggu keamanan. Orang ramai juga dinasihatkan supaya peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran, serta melaporkan aktiviti mencurigakan kepada polis,” tambahnya.
