Etnik Rohingya di negara ini hanya mahu diberikan peluang pendidikan supaya dapat membangunkan komunitinya.
Wakil Forum Pembangunan Belia Rohingya, Mohammed Farouque memberitahu, bukan hak kerakyatan serta kebebasan lain yang dipinta oleh etnik itu, tetapi peluang untuk menimba ilmu agar masyakatnya dapat membangun seperti orang lain.
“Beri peluang kepada kita untuk mendapatkan pelajaran terutama kepada anak-anak kita. Bukan minta hak atau perkara lain. Cuma mencari peluang sahaja.
“Saya ingin mengambil satu contoh, terdapat satu pusat pendidikan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), semasa dia (etnik Rohingya) berada di Malaysia, dia dapat menyambung pelajaran di Amerika Syarikat, Alhamdullilah dia dapat menamatkan pengajian di sana.
“Semasa memberi ucapan, dia menyebut ‘terima kasih Malaysia,’. Kerana apa? Kerana ketika dia berada di Malaysia, dia mendapat peluang untuk belajar.
“Sekarang dia tengah mencari cara untuk membantu komunitinya.
“Jadi sekiranya kami mempunyai pelajaran, kami tidak perlu lari ke mana-mana,” katanya ketika menjadi panel dalam Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan di Astro AWANI malam tadi.
Dalam pada itu, Muhammad Farouque turut menghargai usaha Malaysia dalam mencari titik tengah kepada isu pelarian di negara ini.
Ujarnya, berdasarkan pengalaman beliau sendiri, Malaysia memberi layanan yang cukup berbeza berbanding negara-negara lain di dunia.
Ini termasuk isu yang menyentuh keselamatan dan kebajikan tempat tinggal etnik berkenaan.
“Jadi, bagi saya, syukur apabila sampai di Malaysia dan telah berjumpa dengan rakyat negara ini, saya tidak pernah mendapat penghargaan seperti yang saya dapat di negara ini,” ujarnya lagi.
Senada dengan Mohammed Farouque, seorang lagi panel, Sukarelawan Malaysia for Syria (MFS), Ahmad Khawla turut berpandangan bahawa penerimaan rakyat negara ini terhadap masyarakat luar adalah positif terutama sekali masyarakat Islam dari negara lain.
“Orang Melayu suka bersedekah, suka amalan senyum, suka membantu dan suka amalan yang bermanfaat.
“Itu kerana saya berada di sini. Malaysia ibarat syurga di dunia,” katanya.
Mengulas berkenaan kebajikan dan sentimen xenofobia yang ada di negara ini khasnya dari soal bantuan kepada pelarian, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia (GPM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berpendapat adalah penting buat semua pihak menitik beratkan soal kemanusiaan dan bukannya pada status atau perbezaan.
“Kita daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu mengambil pendekatan strategik (dalam memberikan bantuan), ada masa dan ketika sewaktu COVID-19, dalam keadaan susah, ada faktor asal yang menyebabkan berlakunya sesuatu situasi yang mana kita hantar bantuan kepada penduduk Rohingya sahaja, sedangkan orang (tempatan) di sesuatu kawasan itu, ada yang susah juga.
“Jadi nanti ada yang mempersoalkan mengapa nak beri bantuan kepada orang lain sedangkan kita juga susah.
“Jadi kita ambil pendekatan yang mana apa sahaja bantuan dikenal pasti di mana-mana komuniti, kita perlu pastikan komuniti yang dibantu itu bukan hanya selective community, tetapi kita ambil kira juga faktor penduduk tempatan,” jelasnya.
Sumber: Astro Awani