PLATFORM laman sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp kembali pulih selepas hampir enam jam gagal diakses pengguna platform tersebut.
Ribuan pengguna berdepan kesukaran mengakses laman-laman tersebut sejak kira-kira 12 malam dalam apa yang disifatkan DownDetector sebagai “masalah teknikal terbesar pernah berlaku”.
Pada kira-kira jam 6.30 pagi ini, rata-rata pengguna menyatakan mereka berjaya memasuki ketiga-tiga aplikasi tersebut, namun penggunaannya masih tersekat-sekat.
Masalah berkenaan merupakan yang kedua dialami platform media sosial itu selepas dituduh tidak menyekat kenyataan berbaur hasutan dan benci serta berita palsu serta mementingkan keuntungan.
“Saya memohon maaf kepada setiap perniagaan kecil mahupun besar, keluarga dan setiap individu yang bergantung kepada perkhidmatan kami,” kata Ketua Pegawai Teknologi Facebook, Mike Schroepfer menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya.
Tambah Schroepfer, syarikat itu memerlukan sedikit masa lagi bagi memulihkan keadaan sepenuhnya.
Facebook services coming back online now – may take some time to get to 100%. To every small and large business, family, and individual who depends on us, I'm sorry.
— Mike Schroepfer (@schrep) October 4, 2021
Pakar sekuriti menyatakan gangguan tersebut mungkin disebabkan oleh masalah teknikal dalaman, namun tidak menolak kemungkinan tindakan khianat oleh pekerja sendiri.