Umum

FAM Tegas Akan Rayu Keputusan FIFA, Nafi Dakwaan Dokumen Palsu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pendiriannya untuk mengemukakan rayuan rasmi terhadap keputusan tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi laman Facebook, FAM memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA dan akan menggunakan semua saluran undang-undang yang diperuntukkan bagi mempertahankan hak pemain dan integriti bola sepak negara.

FAM menegaskan bahawa segala dokumentasi berkaitan kelayakan pemain disediakan dan disahkan sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan. “Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, dalam kenyataan susulan yang dikeluarkan pagi tadi, FAM memperincikan bahawa dakwaan pemain “memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu” adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan oleh FIFA setakat ini.

“Gambaran yang diberikan dalam keputusan FIFA adalah tidak tepat. Para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” tegas FAM.

FAM menjelaskan bahawa isu tersebut berpunca daripada ralat pentadbiran (administrative error) apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen, dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Rayuan rasmi kini sedang disediakan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia.

FAM turut menegaskan bahawa semua maklumat berkaitan proses pengeluaran dan pengesahan pasport tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, dan hanya akan dikongsi dengan FIFA bagi tujuan kes ini sahaja.

Persatuan itu kekal komited mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, dan memastikan proses rayuan berjalan dengan telus serta adil.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top