Umum

Ferrari Gagal Halang Syarikat Tempatan Daftar Logo Minuman Tenaga Mirip Kuda

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang difailkan oleh pengeluar kereta sport mewah terkenal, Ferrari SpA, terhadap syarikat minuman tenaga tempatan, Sunrise-Mark Sdn Bhd, berhubung pertikaian logo.

Dalam keputusan yang diumumkan oleh Hakim Adlin Abdul Majid, mahkamah memutuskan bahawa logo “WEE POWER” milik Sunrise-Mark — yang menampilkan dua ekor kuda berdiri saling berhadapan dengan huruf “W” di tengah-tengah dan nama jenama di bawahnya — tidak cukup serupa dengan lambang kuda tunggal ikonik Ferrari sehingga boleh menyebabkan kekeliruan awam.

Ferrari sebelum ini memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Pendaftar Cap Dagangan yang menolak bantahannya dan membenarkan Sunrise-Mark mendaftarkan logo tersebut pada tahun lalu.

Dalam hujahnya, Ferrari mendakwa logo WEE POWER melanggar hak eksklusif mereka terhadap cap dagangan kuda berdiri yang sinonim dengan penjenamaan global Ferrari dalam dunia automotif, perlumbaan Formula Satu, dan barangan gaya hidup mewah.

Namun, mahkamah menolak hujah tersebut dan menekankan bahawa persamaan antara kedua-dua logo hanya terhad kepada elemen kuda. Menurut hakim, logo Sunrise-Mark mempunyai elemen tersendiri yang jelas membezakannya, termasuk penggunaan huruf “W” besar dan frasa “WEE POWER” yang dikaitkan dengan nama pengasas syarikat, Wee Juan Chien.

“Tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa pengguna akan mengaitkan minuman tenaga tempatan ini dengan sebuah jenama kereta mewah seperti Ferrari,” kata Hakim Adlin seperti dilaporkan Harian Metro.

Tambahnya lagi, kedua-dua pihak juga beroperasi dalam sektor yang sangat berbeza — Ferrari dalam industri automotif premium, manakala Sunrise-Mark dalam pasaran barangan pengguna. Oleh itu, tiada risiko kekeliruan atau pertindihan pasaran antara kedua-dua jenama.

Mahkamah turut memerintahkan Ferrari membayar kos perbicaraan kepada defendan.

Dalam prosiding tersebut, Ferrari diwakili oleh peguam PC Kok dan Ng Pau Chze, manakala Sunrise-Mark diwakili oleh YY Ho dan Amirah Najihah Ameruddin.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top