Pameran perdagangan makanan dan hospitaliti terkemuka negara, Food & Hospitality Malaysia (FHM) 2025, secara rasmi membuka tirainya hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan ribuan peneraju industri untuk empat hari penuh inovasi, jaringan perniagaan dan peluang kolaborasi.
Edisi ke-18 ini berlangsung dari 23 hingga 26 September 2025, mencatat sejarah dengan pengembangan penuh ke semua 11 dewan pameran, menampilkan lebih 1,500 jenama dari 15 negara serta dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung perdagangan.
Pameran Perdagangan Utama Industri
Dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia, FHM 2025 mengekalkan kedudukannya sebagai pameran perdagangan eksklusif untuk industri makanan, minuman dan hospitaliti. Bertemakan “Cultivating Solutions for the Food and Hospitality Industry”, acara ini mengetengahkan pelbagai pameran inovasi, pertandingan secara langsung, serta platform perkongsian ilmu untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan pembangunan industri.
“Di FHM 2025, kami komited membangunkan pendekatan inovatif yang memenuhi keperluan semasa industri makanan dan hospitaliti. Pengembangan ke 11 dewan adalah bukti jelas dedikasi kami untuk merangkumi setiap sudut industri,” kata Gerard Leeuwenburgh, Pengurus Besar Negara Informa Markets Malaysia.
Sorotan Utama FHM 2025
Antara tarikan utama edisi tahun ini ialah:
- International Signature Hall
- Brew & Bake Hall
- Malaysia Pastry Week yang merangkumi World Pastry Cup – Team Malaysia National Selection serta Pastry Innovation Lab
- Coffee Mixology Challenge – Zero Proof anjuran BACFREE
- Kembalinya acara berprestij seperti Culinaire Malaysia, Housekeeping Malaysia dan Trend Talk
Menambah kelainan, FHM bekerjasama dengan jenama tempatan Bungkus Kaw Kaw untuk menghasilkan barangan eksklusif khas buat para pengunjung. Kerjasama ini bukan sahaja memeriahkan suasana, malah mengangkat kreativiti tempatan ke pentas antarabangsa.
Persidangan Antarabangsa & Inisiatif Komuniti
Pada 25 September 2025, persidangan antarabangsa FutureFWD – Hospitality, Food & Beverage akan berlangsung di EQ Kuala Lumpur. Dihoskan oleh Saladplate dengan kerjasama FHM, ia akan menghimpunkan pemikir industri dan inovator untuk membincangkan transformasi teknologi, kelestarian dan perubahan corak pengguna.
Selain dunia perniagaan, FHM turut menekankan tanggungjawab sosial melalui Food Share Initiative bersama Food Aid Foundation, di mana lebihan makanan daripada pameran akan diagihkan setiap hari ke dapur komuniti sekitar Kuala Lumpur.
Akses & Pendaftaran
Profesional industri masih boleh mendaftar di lokasi. Kemasukan berharga RM100 seorang adalah sah untuk empat hari pameran, namun akses terhad kepada dewan pameran sahaja.
Untuk maklumat lanjut mengenai Food & Hospitality Malaysia 2025 serta perincian penuh program, layari laman rasmi di www.foodandhotel.com.
