Jenama peralatan dapur tempatan, Fukuro Malaysia melancarkan siri bekas simpanan makanan baharu dikenali sebagai Rokku Food Storage Series yang direka untuk memenuhi keperluan penyimpanan makanan harian isi rumah.
Rangkaian baharu itu merangkumi sembilan unit produk (SKU) yang terdiri daripada enam bekas jenis Clip Lock Containers serta tiga Airlock Canisters bagi kegunaan penyimpanan makanan yang lebih kemas dan praktikal.
Antara produk yang ditawarkan termasuk bekas Clip Lock Container berkapasiti 550 mililiter yang dijual pada harga RM9.90.
Produk Fukuro kini boleh didapati di lebih 1,300 premis runcit di seluruh negara termasuk gedung serbaneka, pasar raya premium, pasar raya dan pasar raya besar, selain turut dijual menerusi laman web rasmi jenama tersebut.
Menurut Pengasas Bersama Fukuro Malaysia, Daryl Lai, siri Rokku dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahukan produk dapur yang moden, berkualiti dan pada masa sama berada dalam julat harga yang praktikal untuk kegunaan harian.
“Apa yang membezakan Fukuro ialah cara perniagaan ini dibina. Kami menggunakan pendekatan disiplin industri barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dalam kategori yang sering dianggap transaksi semata-mata.
“Kami merancang rangkaian produk dengan teliti, mengurus harga secara konsisten serta memastikan produk mudah didapati di pasaran supaya apabila pengguna memerlukan peralatan dapur yang baik, ia sudah berada dalam jangkauan mereka,” katanya.
Menurut beliau, cabaran sebenar dalam pasaran peralatan dapur bukanlah kekurangan pilihan, sebaliknya kekurangan produk yang menawarkan nilai praktikal untuk kegunaan harian.
“Peralatan dapur yang baik seharusnya berfungsi dengan baik, berkualiti dan ditawarkan pada harga berpatutan tanpa perlu dianggap sebagai satu keputusan pembelian mewah,” katanya.
Fukuro yang merupakan jenama tempatan turut menyasarkan untuk membuktikan bahawa syarikat yang dibangunkan di Malaysia mampu bersaing dalam kategori yang lazimnya didominasi jenama antarabangsa.
Menurut syarikat itu, ketika ini lebih 90,000 unit produk Fukuro sampai ke kediaman pengguna di Malaysia setiap bulan, mencerminkan penerimaan pasaran terhadap jenama tersebut.
