Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Genting Klang di sini, pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada orang awam yang berada di tempat kejadian.
“Sehubungan dengan itu, satu siasatan dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Saralathan berkata, usaha mengesan pihak-pihak yang terlibat masih dijalankan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya.
Saralathan turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video tersebut kerana ia boleh mendatangkan kegusaran awam.
Pada Khamis, satu video berdurasi tujuh saat tular dipercayai dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter yang memaparkan insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di restoran itu.
*Berita asal di Sinar Harian