Gempa Bumi Lemah Dikesan di Bukit Kepong, Tiada Ancaman Tsunami
PETALING JAYA – Satu gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 telah dikesan berlaku di sekitar Bukit Kepong, Pagoh, pada jam 8.55 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia memaklumkan gempa tersebut berlaku kira-kira 16 kilometer barat daya Pagoh dengan kedalaman 10 kilometer. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Johor dan Melaka, namun ia berskala kecil dan tidak dijangka menyebabkan kerosakan struktur atau risiko keselamatan kepada penduduk setempat.
Agensi itu turut mengesahkan bahawa tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia susulan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memaklumkan keadaan adalah terkawal dan setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa mengambil serius soal keselamatan rakyat dan pemantauan rapi sedang dijalankan bersama agensi berkaitan.
Orang ramai dinasihatkan agar kekal bertenang, menjauhi struktur yang tidak kukuh serta sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diperlukan.
