PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengulangi pendirian untuk terus kekal berada di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi berperanan sebagai Perdana Menteri.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu antara lain akan terus berkhidmat dan mewakili suara rakyat di negara ini selain berusaha menjadi parti pelbagai kaum.
“Gerakan menyertai PN pada awalnya kerana kami berkongsi falsafah yang sama iaitu mengutamakan rakyat. Mengutamakan rakyat telah dilaksanakan oleh pemerintah PN sejak ia mula berkuasa.
“Semasa Gerakan meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada 2018, kerana kami tidak nampak peranan yang kami boleh mainkan di dalam gabungan ini malah kami dipinggirkan dalam kebanyakan keputusan yang dibuat ketika itu.
“Justeru, kami memilih untuk menyertai PN sebab Muhyiddin lebih menumpukan kepada kebajikan rakyat, bekerja keras dan tidak mengganggu pihak judisiari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 23 Jun 2018, Gerakan meninggalkan BN berikutan kekalahan mengejutkan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Gerakan ketika itu bertanding di 22 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun gagal meraih kemenangan yang mendorong parti itu memilih haluan sendiri selepas pilihan raya.
Pada 11 Februari lalu, Gerakan memutuskan menyertai PN bersama parti-parti sehaluan lain dengan surat penerimaan kemasukannya diserahkan Muhyiddin kepada Dominic Lau.
PN yang terbentuk bukan melalui pilihan raya dan mandat rakyat selepas Langkah Sheraton pada 23 Februari tahun lalu ketika ini dianggotai Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) serta menjalin kerjasama dengan UMNO.