Umum

Guru maut motosikal berkuasa tinggi terbabas di LPT2

Seorang guru maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di susur selekoh hentian rehat dan rawat (R&R) Ajil di Kilometer 411.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, mangsa, Sohaimi Karim, 54, yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSR 750 cedera parah pada bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang merupakan Guru Penolong Kanan (Kokurikulum) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, Pekan, Pahang ketika itu bertolak dari arah Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu menuju ke Pekan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa menunggang seorang diri dari Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu pada jam 2 petang menuju ke Pekan.

“Sebaik tiba di susur berselekoh ke R&R Ajil, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebelah kanan pembahagi jalan menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh ke kawasan berumput,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Mohd Adli berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.44 petang.

“Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk saringan COVID-19 dan bedah siasat.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai terbabas sendiri dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata beliau.

*Berita asal di Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top