Umum

Guru tampar muka, tarik rambut pelajar, mengaku tidak bersalah

Gambar Hiasan

Guru disiplin sebuah sekolah di Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas dakwaan sengaja menyebabkan cedera terhadap pelajarnya dengan menampar muka dan menarik rambut, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Heirman Ishak, berbuat demikian kerana pelajar itu bersikap biadab.

Beliau yang berusia 48 tahun, masih bertugas sebagai guru minta dibicarakan dalam prosiding kes di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik guru pada 9 Disember 2022, kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurut laporan Berita Harian, Heirman didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon tarikh sebutan baharu untuk serahan dokumen.

Peguam, Nor Azmi Mohd Arif bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan anak guamnya masih berkhidmat serta menanggung dua anak yang masih belajar serta ibu terlantar sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tidak boleh mengganggu mangsa hingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

 

 

PALING POPULAR

To Top