Umum

Hannah Yeoh Fail Prosiding Kebankrapan Terhadap Pensyarah UUM

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, telah memulakan prosiding kebankrapan terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, selepas beliau gagal membayar ganti rugi lebih RM400,000 yang diperintahkan oleh mahkamah.

Seperti dilaporkan Free Malaysia Today (FMT), peguam Yeoh, Sangeet Kaur Deo, berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu memerintahkan Kamarul membayar RM400,000 sebagai ganti rugi dan RM80,000 kos guaman berhubung dua catatan Facebook pada 2017 yang didapati memfitnah anak guamnya.

Menurut Sangeet, Kamarul telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada Jun namun tidak memohon penangguhan pelaksanaan dengan segera. “Memandangkan tiada perintah penangguhan, plaintif berhak menguatkuasakan penghakiman tersebut,” katanya.

Notis petisyen kebankrapan bertarikh 9 Julai telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia dan akan turut dilekatkan di papan kenyataan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selain dihantar ke alamat defendan seperti dalam MyKad.

Sangeet berkata, pendengaran permohonan Kamarul untuk penangguhan pelaksanaan dijadualkan pada 28 Ogos.

Kes saman itu difailkan pada 2022, melibatkan kenyataan yang didakwa menuduh Yeoh mempunyai agenda memurtadkan, mempromosikan agama Kristian melalui platform politik, dan berhasrat menjadikan Malaysia negara Kristian. Yeoh menegaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar dan mencemarkan reputasinya.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top