Umum

Harga RON95 Turun Kepada RM1.99, BUDI95 Beri 300 Liter Subsidi Untuk Semua Rakyat

Kerajaan akan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula 30 September 2025, dengan setiap rakyat Malaysia layak menerima subsidi petrol RON95 sehingga 300 liter sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini turut menurunkan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala harga bagi bukan warganegara ditetapkan pada RM2.60 seliter.

Beliau menjelaskan bahawa semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah dan aktif akan secara automatik menikmati subsidi ini, tanpa mengira tahap pendapatan.

“Usaha ini memastikan subsidi diagihkan secara adil kepada rakyat yang layak, di samping mengelakkan ketirisan,” kata Anwar menerusi hantaran media sosialnya.

Pelaksanaan ini akan menggunakan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai asas pengesahan. Rakyat dinasihatkan menyemak cip MyKad dan lesen memandu lebih awal untuk mengelakkan masalah teknikal di stesen minyak.

Kerajaan memberi jaminan subsidi ini akan disalurkan secara bersasar, telus dan tanpa ketirisan, demi kesejahteraan rakyat.


PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top