Umum

Harga sawi, kailan naik dua kali ganda

Beberapa jenis sayur menunjukkan peningkatan harga dua kali ganda sejak seminggu lalu terutama yang dibawa masuk daripada negara jiran, Thailand.

Tinjauan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, hari ini, mendapati antara sayur yang menunjukkan perbezaan harga yang ketara ialah sawi serta kailan, yang mana sebelum ini dijual RM14 untuk empat kilogram tetapi kini meningkat kepada RM28.

Peniaga, Nor Asliha Mat, 43, berkata, pemborong memaklumkan kenaikan harga berlaku susulan banjir yang sedang melanda di negara jiran sekali gus memberi kesan pada harga sayur-sayuran.

Katanya, peniaga sudah biasa dengan situasi harga sayur tidak menentu yang akan berlaku bukan sahaja sewaktu banjir tetapi juga ketika sayur mula mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

“Ada sahaja pelanggan yang terkejut dan merungut apabila mengetahui harga sayur naik mendadak dan kami sebagai peniaga hanya mampu menerangkan situasi sebenar iaitu turut membeli dengan harga tinggi daripada pemborong.

“Selain sayur daripada negara jiran, hasil tanaman tempatan juga ada turun naiknya, contohnya, timun yang sering berubah-ubah harga. Ada masanya harga timun hanya RM10 untuk tujuh kilogram (satu plastik), tetapi ada juga mencecah sehingga RM16.

“Jika harga dilihat terlalu tinggi, kami biasanya hanya mengambil bekalan sayur dalam kuantiti yang sedikit kerana risau tidak terjual dan buruk,” katanya ketika ditemui di RTC Tunjong, di sini, hari ini.

Sementara itu, pembeli yang juga pemilik kedai makan, Sahar Kadir, 45, berkata dia menyedari kenaikan harga beberapa jenis sayur sejak lebih seminggu lalu kerana sering kali membeli dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan stok di kedainya.

“Sawi dan kailan adalah antara sayur wajib dibeli untuk digunakan bagi tujuan masakan panas di kedai saya.

Tetapi, disebabkan harganya agak mahal sejak kebelakangan ini, saya hanya beli dalam jumlah sedikit dan bertukar kepada sayur lain seperti kubis dan kangkung.

“Memang saya akui harga sayur sering kali berubah-ubah terutama apabila menjelang musim tengkujuh. Jadi saya perlu bijak mengambil inisiatif lain dengan menukar kepada sayur yang lebih murah mengikut situasi semasa.

“Kalau harga sayur naik sekali pun, saya sebagai peniaga kedai makan tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top