ALASAN Barisan Nasional (BN) mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk mahu menyingkirkan wakil Perikatan Nasional (PN) dalam pentadbiran kerajaan negeri kononnya kerana mahu memulihkan ekonomi dan memajukan Johor adalah tidak benar sama sekali.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri menegaskan, tindakan UMNO membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggunakan alasan tersebut adalah suatu yang remeh dan tidak masuk akal bagi sebuah parti berusia 76 tahun.
Beliau menegaskan, barisan Exco daripada Bersatu sentiasa bekerja keras untuk membangunkan negeri sekali gus menyokong aspirasi bajet negeri 2022 tetapi malangnya PN digambarkan menjadi punca kemerosotan ekonomi Johor.
“Saya nak komen pasal (slogan) nak pulihkan ekonomi. Jangan kelirukan rakyat. Saya juga ahli Exco. Kita ada data. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana penularan Covid-19) yang menyebabkan kita terjejas daripada segi ekonomi dan pelaburan.
“Akibatnya ramai rakyat kita (Johor) tidak dapat bekerja di Singapura. Warga Singapura tidak dapat masuk ke Johor Bahru, sebab itu banyak kedai dan restoran ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang tampil dengan slogan Matlamat BN: Majoriti 2/3, Maju Negeri, Pulih Ekonomi pada kain rentang semasa bergambar bersama-sama barisan kepemimpinan tertinggi UMNO dan ketua bahagian di Johor Bahru kelmarin.
Mohd. Solihan berkata, sejak Hasni mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, tiada kemasukan pelaburan yang memberangsangkan.
“Sejak Hasni pimpin pun berapa banyak pelaburan yang dia berjaya bawa masuk ke Johor? Jadi bukan satu alasan yang kukuh untuk pulihkan ekonomi dengan membubarkan DUN Johor untuk memberi laluan PRN,” katanya.
Beliau menegaskan, Exco dan wakil rakyat PN komited menyokong serta mendokong kerajaan negeri diterajui UMNO.
Malah katanya, dalam banyak perkara kritikal wakil pembangkang turut bersama-sama kerajaan negeri termasuk menyokong kelulusan Bajet Johor 2022 walaupun berlaku defisit pada akaun negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor itu menambah, berikutan terkesan teruk akibat Covid-19, bajet negeri mahupun Persekutuan banyak diperuntukan untuk membantu rakyat, menyokong komuniti perniagaan serta melaksanakan pemulihan ekonomi.
“Kami akur, situasai ini mendorong proses pembangunan menjadi perlahan manakala pertumbuhan ekonomi terjejas. Tapi, janganlah gambarkan PN menjadi puncanya,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu.
Bersatu juga katanya, mengulangi kekesalan dengan sikap UMNO yang membelakangkan prinsip perkongsian kuasa dengan PN dalam kerajaan negeri, dalam soal keputusan membubarkan DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan.
“Sikap dan tindakan ini hanya menguntungkan sebelah pihak,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang.
Sumber: Satu Berita