Umum

HDC, MARA, Lembaga Kemajuan Wilayah perlu tingkatkan jumlah sijil halal syarikat Bumiputera

Gambar Hiasan

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata agensi berkaitan perlu meningkatkan jumlah syarikat Bumiputera memiliki sijil halal.

Menurut beliau, hanya 39.6% atau 3,616 syarikat Bumiputera memiliki sijil halal daripada keseluruhan 9,146 pengusaha setakat ini, kurang berbanding pengusaha bukan Bumiputera.

Sebanyak 5,270 syarikat bukan Bumiputera dan 1,041 syarikat multinasional memiliki sijil halal dikeluarkan pihak berkuasa negara ini.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 8,105 syarikat yang memiliki sijil halal merupakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Cuba lihat peratusan, syarikat satu akidah, peratusannya masih kecil sedangkan yang bukan satu akidah dengan kita peratusannya tinggi.

Sesuatu mesti dilakukan, Halal Development Corporation (HDC), Mara, Lembaga kemajuan Wilayah, perlu lakukan sesuatu, kita harus ketepikan perbezaan kita, apa sahaja pun untuk mencapai matlamat kita, katanya pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah menjawab pertanyaan Adnan Abu Hassan (BN- Kuala Pilah) berhubung pelan tindakan kerajaan untuk memperkasakan PMKS dan syarikat Bumiputera dalam sektor halal.

Zahid berkata syarikat Bumiputera akan diberi peluang menyertai sektor halal berpotensi tinggi bagi memperkukuh rangkaian bekalan serta mengadaptasi teknologi digital dan pengkomersialan produk inovasi mereka.

Namun menerusi Malaysia Global Halal Show 2024, yang menawarkan khidmat bimbingan syarikat mahu menembusi pasaran antarabangsa, hanya empat syarikat Bumiputera terlibat daripada keseluruhan 153 pengusaha yang mengambil bahagian.

Mereka terlibat sebagai peserta sektor makanan dan minuman, kosmetik dan penjagaan diri, kata Zahid yang juga pengerusi Majlis Halal Malaysia.

Katanya, potensi besar untuk menembusi sektor halal ke luar negara tidak hanya melibatkan sektor makanan dan minuman tetapi termasuk juga melibatkan farmaseutikal seperti kosmetik dan pengeluaran vaksin halal.

“Untuk ke peringkat antarabangsa harus usahakan banyak aspek lain seperti vaksin yang sangat memerlukan vaksin halal, selain itu penyediaan bahan-bahan ramuan berkenaan produk halal di peringkat antarabangsa, seperti serai, lengkuas, herba sangat diperlukan untuk sektor kosmetik.

Usaha dilakukan tapi dibuat secara kecil-kecilan, katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top