Business

Hong Leong Bank Dinobatkan ‘Best SME Bank’ Malaysia Dua Tahun Berturut-turut

Hong Leong Bank Berhad (HLB) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju perbankan PKS di Malaysia apabila dinobatkan sebagai Best SME Bank in Malaysia pada Euromoney Awards for Excellence untuk tahun kedua berturut-turut.

Pengiktirafan ini melengkapkan tahun yang cemerlang buat HLB selepas turut menerima anugerah serupa daripada The Asian Banker dan Asian Banking & Finance, menjadikan bank tersebut sebagai antara institusi kewangan paling konsisten dalam mendukung ekosistem PKS negara.

Lonjakan pelanggan & pembiayaan inklusif

HLB kini mempunyai lebih 320,000 pelanggan PKS, meningkat 18% berbanding tahun lalu. Pencapaian ini didorong oleh pelbagai penyelesaian pembiayaan inovatif, termasuk kelulusan pembiayaan lebih RM280 juta kepada 360 PKS melalui Government Guarantee Scheme MADANI 1.0 pada 2024, dengan kesinambungan melalui GGSM 2.0 tahun ini.

Selain itu, HLB memperkenalkan onboarding digital penuh untuk akaun perniagaan termasuk pemilik tunggal, di samping menambah baik akaun perniagaan dan mata wang asing untuk kemudahan pelanggan PKS.

Komitmen jangka panjang

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLB, Kevin Lam, berkata kejayaan ini adalah hasil kepercayaan yang diberikan oleh komuniti PKS serta strategi bank untuk menjadi rakan kongsi bernilai, bukan sekadar penyedia perkhidmatan.

“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia. Dengan menyediakan alatan digital inovatif dan nasihat pakar, kami bukan sahaja membantu mereka berkembang, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya.

HLB turut mencatatkan pertumbuhan pinjaman kepada perusahaan domestik sebanyak 7.5% tahun ke tahun kepada lebih RM70 bilion, manakala portfolio pembiayaan PKS berkembang 8.1% kepada lebih RM40 bilion.

Pemacu digitalisasi

HLB merupakan bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan onboarding eKYC penuh untuk pemilik tunggal dalam tempoh kurang 10 minit, diikuti inovasi lain seperti onboarding rakan kongsi melalui tablet, integrasi Weixin Pay, serta pembukaan akaun mata wang asing secara digital.

Dengan operasi di Vietnam, Singapura, Kemboja dan Hong Kong SAR, HLB juga mengukuhkan kedudukan serantau sebagai bank yang mesra digital dan berpandangan jauh.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top