Umum

Hong Leong Bank Lancar HLB Priority, Definisi Baharu Pengurusan Kekayaan Golongan Bernilai Tinggi

Hong Leong Bank Berhad (HLB) mengumumkan penjenamaan semula segmen pengurusan kekayaan mewahnya kepada HLB Priority, menandakan peralihan strategik daripada konsep perbankan berasaskan transaksi kepada model pengurusan kekayaan yang dipacu nasihat dan perancangan jangka panjang.

Transformasi ini menggabungkan penyelesaian kewangan bertaraf institusi dengan khidmat nasihat diperibadikan serta keistimewaan gaya hidup eksklusif, bagi membantu pelanggan mencapai lima objektif teras iaitu Pemeliharaan, Pendapatan, Pertumbuhan, Kepelbagaian dan Legasi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan HLB, Kevin Lam, perubahan ini sejajar dengan peralihan landskap kekayaan di Malaysia yang kini memasuki fasa pemindahan kekayaan antara generasi.

“Generasi baharu individu bernilai tinggi semakin mencari perkhidmatan pengurusan kekayaan yang lebih sofistikated dan bernilai tambah. Justeru, kami beralih kepada model khidmat nasihat khusus yang memberi tumpuan kepada penjagaan aspirasi pelanggan dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan kekayaan kini bukan lagi perkhidmatan sampingan, sebaliknya menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang bank serta tonggak penting pendapatan bukan faedah.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Serantau Pengurusan Kekayaan HLB, Jeffrey Yap berkata pelanggan hari ini bukan sekadar mencari tempat menyimpan modal, sebaliknya rakan strategik yang mampu mengurus kerumitan kewangan dan gaya hidup mereka.

“Aset paling berharga pelanggan kami ialah masa. HLB Priority direka untuk memberi ketenangan minda dan membolehkan pelanggan menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar penting,” katanya.

Seiring pendekatan holistik ini, HLB Priority turut memperkenalkan teras ‘Health is Wealth’ menerusi kerjasama dengan Asia OneHealthcare (A1Health), yang membolehkan akses kepada rawatan perubatan khusus di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

HLB Priority juga menawarkan penyelesaian mobiliti serantau dan pelbagai mata wang bagi menyokong gaya hidup global pelanggan merentasi Malaysia, Singapura, Vietnam, Kemboja, Hong Kong dan China.

Penjenamaan semula ini turut melibatkan identiti jenama baharu serta pemodenan Pusat Priority di seluruh negara, yang dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2026.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top