KOTA BHARU: Kapasiti wad hospital termasuk unit rawatan rapi (ICU) di Kelantan berada pada tahap lebih 90 peratus penggunaannya.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kebanyakan pesakit COVID-19 yang berada di tahap kritikal terdiri daripada mereka yang belum lagi mendapat suntikan atau menerima hanya satu suntikan vaksin.
“Kita lihat trend walaupun tidak ketara, mereka yang dimasukkan ke hospital kebanyakan kategori satu dan dua dan pada masa sama kategori 3, 4 dan 5 ada penurunan.
“Kalau kita lihat yang teruk ini kebanyakan sama ada belum disuntik atau tidak lengkap terima suntikan vaksin,” katanya.
Tambahnya ada wad yang mencapai penggunaan lebih 100 peratus.
Namun pihak hospital turut membuka beberapa wad lain untuk digunakan sebagai wad ICU.
Menurut Zaini, berdasarkan kadar kes harian, pihaknya mampu bertahan.
Kelantan mencatatkan empat angka sejak hampir sebulan lalu, yang mendorong Jabatan Kesihatan Kelantan memanggil kembali petugas kesihatan yang membantu kerja-kerja di luar Kelantan baru-baru ini.
Sementara itu program ‘Outreach’ vaksinasi Orang Asli di pedalaman Kelantan di Gua Musang, akan bermula minggu depan selepas menerima 7,000 dos tunggal CanSino.
Program imunisasi ke atas masyarakat Orang Asli akan dibantu Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).