Mersing: Identiti empat penyelam warga asing yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini, tengah hari semalam, sudah dikenal pasti.
Mereka adalah dua lelaki yang juga anak beranak iaitu warga Britain, Adrian Peter, 46, dan Nathan Renze, 14 merupakan warga Belanda.
Dua lagi mangsa dikenal pasti sebagai wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18 dan jurulatih penyelam ‘Dive Master’ dari Norway, Kristine Grodem, 35.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua penyelam mempunyai lesen menyelam dan berpengalaman.
“Kita berduka cita kerana ada empat individu yang kita sedang cari di kepulauan Mersing terutama di Kepulauan Sanggol. Mereka semua adalah pelancong dan salah seorang jurulatih.
“Mereka ini adalah pelajar tetapi mereka ini bukan pertama kali menyelam. Mereka semua berpengalaman dalam selaman dan sedang dalam menaik taraf sijil kelayakan menyelam (‘upgrading certification’).
Hubungan kedua lelaki itu adalah bapa dan anak,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi carilamat di Pengkalan hadapan carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Kamaruzzaman Mamat dan Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.
Ops Carilamat yang bersambung pada 7 pagi tadi membabitkan seramai 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset.
Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di atas kurniaan baginda meminjamkan dua bot milik baginda untuk Op Carilamat.
Semalam dilaporkan empat penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol.
Untuk rekod, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.35 petang sebelum operasi mengesan mangsa dilancarkan.